Ahad, 13 Julai 2014

CAKNA PENGKHAYAL

Malam semalam seperti biasa menyertai hingar malam bersama teman-teman gelandangan di Chow Kit tetapi keselesaan hati terasa hilang dengan aksi orang-orang seakan masuk Kebun Haiwan 'menyergah' peliharaan dari tidur untuk berselfie sambil tangan menghulurkan bungkusan. Sikap olok-olok itu menjadi hiburan yang membanggakan untuk diberitahu kepada orang lain dan kita sepatutnya lebih memahami bahawa cakna itu 'tak akan berkuasa membaiki keadaan. Tanpa nafi rakaman idea dan emosi gelandangan melalui foto atau video memang mampu membangkitkan kesedaran pada orang yang benar-benar peduli tetapi biarlah kena dengan tempatnya. 

   Cakna khayali puak-puak reaksioner jika tidak ditegur berupaya membalikkan kita ke bawah dengan hina dan menjadi tunjang kematian rasa dengan penuh ketakjuban. Takjub sikap seronok berzikir dengan perkara-perkara sementara sehingga lupa urusan penting kita membuat perubahan. Jika perlu berhentilah sejenak untuk menatap sedar ceria 'keseronokan' dengan lebih tenang, mencuba untuk mencari tahu siapa yang gila, atau kosong sahaja..?

Sebenarnya, mungkin ingin memahami terlebih dahulu apa kegilaan...

Maksud saya gila dengan idea-idea serta usaha melakukan perubahan untuk gelandangan dan miskin kota serta hal seangkatan seiring banyaknya isu yang menyangkut huraian kehidupan masharakat di Kuala Lumpur secara khusus.

   Peluang untuk mengamati fikiran ada sepanjang hari, menawarkan pemberontakan tentang cita-cita. Jika melakukan kegilaan ini, nescaya akan terlihat... Saya yakin itu. Ia menjelaskan bahawa hampir tidak ada perbezaan antara hiruk pikuk 'keseronokan' yang sedar dan 'gila' yang tidur . Satu-satunya perbezaan perlu dilakukan ialah tekad dan tindakan.

   Didepan kita adalah kesempatan memberi sumbangan serta komitmen. 'Tak sedap dipandang mata jika hanya mahu berjenaka suka-suka. Hati mereka yang tidur di jalanan ada di pihak saya, teman-teman dan anda sendiri kerana kita adalah manusia, sentiasa begitu. Kita akan berdiri bersama kerana kita adalah saudara, tanpa mengira masa, tanpa mengenal tempat dan apa yang terjadi pada kita.

Kita punyai ruangan untuk itu. Telah nyata sedemikian sejak dahulu...

Akhir tulis, semua ini menuntut kesabaran kita didalam penyatuan dengan kelas tertindas menuju kesedaran dan tentunya akan mendatangkan dua keadaan iaitu terhapusnya penindasan serta reaksi segera kelas penguasa untuk menjaga kepentingan tertentu.

Kredit Foto - Mahesan Selladurai

Isnin, 23 Jun 2014

HAYAT ITU MILIK TUHAN

Sepanjang hayat diri berada di Kuala Lumpur, Tuhan menguji banyak dengan sejumlah peristiwa manis dan pahit.


Awal pagi ini saya menerima panggilan telefon daripada Mak yang menemani bapa saudara saya juga abang kandung pertama dalam keluarga sebelah Mak di Hospital Seberang Jaya memaklumkan Pak Long sakit dalam perut dan keadaannya sangat lemah. Tidak lama selepas itu Mak menelefon untuk kali yang kedua, kata Mak doktor meminta semua ahli keluarga agar segera berada hampir dengan Pak Long...

Ikhtiar mencari jalan menziarahi Pak Long terhenti, Mak hubungi lagi... Yang nyata Pak Long telah menerima jemputan Rabbnya. Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali... Mak ucapkan, Pak Long pergi dalam keadaan yang cukup tenang... Di ajarkan kalimah tauhid yang sempurna... Bersih wajah dan tubuhnya... Seperti mengukir senyuman sehingga sakit di dalam perut yang menjadi sebab hayatnya tamat 'tak mampu mengungkap apa-apa. Sempurna dalam kebaikan, seizin Allah.

Saya tahu, Pak Long seorang yang tegas tetapi amat berhemah, pengasih dan peduli dengan semua ahli keluarganya termasuk dari sebelah pasangan adik-adiknya juga. Saya juga tahu yang Pak Long memberi perhatian khusus buat Mak dan saya sendiri terutama dalam hal pendidikan agama, sebab itu Pak Long menjadi orang yang paling gembira apabila Mak berhasrat menjadikan kediamannya sebagai Pusat Pengajian Agama setiap hari Selasa malam Rabu kerana merasa tidak cukup dengan perjalanan berkilometer jauhnya ke rumah Tok Guru selain di beberapa tempat lain.

Kami belajar bersama dengan di dahului awalnya oleh Pak Long, Mak dan teman-teman sepengajian tentang apa itu Tauhid, Feqah, Akhlak, pendekatan Pemikiran Kaum Tua dan lain-lain. Memang niat di hati untuk melawatnya nanti ketika bercuti untuk berbincang seperti dahulu, tentu sahaja ada perkara baru yang akan di sampaikan termasuk rantaian do'a-do'a tertentu untuk saya amalkan. Rupanya Pak Long lebih awal bertanya... Kamal 'tak balik ka..? Soalnya pada Mak dengan wajah mengharap dalam suatu pertemuan di kedai makan di Penaga lalu Mak ceritakan yang dia ada datang ke Kuala Lumpur untuk ziarah Pak Ndak saya yang baru balik menunaikan Umrah langsung bertemu saya di sini, di Kuala Lumpur. 'Bulan Puasa nanti dia balik...' Cuma saya tidak punya kesempatan...

Mohon hadiahkan bacaan Surah Al-Fathehah, Surah Al-Ikhlas dan Shalawat... Moga Al-Marhum Khusnul Khatimah, diterima amalannya, diampuni segala dosa serta ruhnya ditempatkan pada maqam yang mendapat kurniaan rahmat dan redha Allah Ta'ala.

Ahad, 18 Mei 2014

RAPAT HATI


  Saya biasa berhadapan isu-isu perjuangan masharakat di kampung halaman juga diluar petaknya seperti hal pemilikan tanah, hak memiliki rumah, urusan Zakat, Jabatan Kebajikan Masharakat dan sebagainya tetapi semalam adalah yang pertama untuk saya duduk bersebelah gelandangan kota raya menyertai teman-teman di Religion Of Love (Tim ROL) dalam acara yang di pacak nama Misi Bantuan Gelandangan 3.0.

Lama dahulu hasrat ini hanya dipeluk diam kedinginan kerana 'tak punya kesempatan lalu dikisahkan Tuhan beberapa hari yang lepas usahakerja dari Tim ROL menjemput masuk saya ke dalam 'Kumpulan' Facebook Tim ROL dan ada pula acara ini, menarik..! Ajakan buat teman serumah pun bersambut jadi saya tidak bersendirian, lebih ramai lebih bagus 'kan..?

Baik, jika pengetahuan saya ini salah maka betulkan, kerana belum pernah saya lihat golongan gelandangan ini di beri perhatian yang wajar sebenarnya. Sebut sahaja mereka itu apa kutu rayau seperti sepahan dedaunan terbuang dari ranting bahkan mungkin puluhan versi tafsiran awam masharakat untuk menyalahkan mereka dan yang pasti keizinan untuk menemukan jalan penyelesaian  menjadi lusuh apatah lagi suasana atmosfera tanah air begitu busuk, kotor sekaligus hanyir akibat kekakuan masharakat di 'kokkong' sama perilaku orang-orang politik yang saling menimpa untuk naik ke puncak..!

Kita yang biasa-biasa ini pandanglah mereka dengan menghulur budi wajib lupa walaupun sekadar sapaan dan tentunya kita tidak sanggup untuk hanya melakukan perkara tersebut semata-mata kerana setiap hemat perlu benar-benar mendekati maksud 'peduli'. Kita maklum kekurangan beberapa perkara yang kita ada, ini bermakna kekurangan tadi boleh di ubati dengan memanfaatkan kesempatan.

Saya yakin suatu hari nanti, kepada sesiapa yang peduli dengan kerja-kerja hamburan benih pendidikan selain daripada bantuan untuk golongan susah gelandangan mereka yang bersisa akan merasai sakral kesedaran tentang perubahan... Dengan izin Allah, hati kecil mereka mengatakan keinginan ini.














































Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Konsep fikir yang berakar umbi ajaran yang benar. Aspirasi pencerahan pemikiran melalui ilmu, pembinaan idealisme serta aktivisme dan bimbingan yang komited kepada masharakat. Dibangun atas dasar peduli kekitaan, cinta dan harmoni serta memelihara kemuliaan manusia. ‘Izzah umat hanya akan dicapai jika Islam diamalkan selengkapnya.

Tiada Hak Cipta Dalam Islam. Mohon Sebar Luas Tulis Ayat Komrad Rakyat, Cuma Nyatakan Sumber Anda Bagi Memudahkan Rujukan. Saya Juga Mengharapkan Agar Teman-teman Tidak Melupakan Saya, Seorang Durjana Dan Lalai Ini Dengan Do'a-do'a Kebaikan. Moga Diredhai Tuhan. Terima Kasih Sebanyaknya..!
Wadah penulisan maya demi menyebar dan membudayakan kebenaran serta memberi kesedaran sekaligus pemangkin kebangkitan kepada massa. Komrad Rakyat menyokong kebebasan, keadilan sosial, sikap hormat dan kesaksamaan massa sekaligus menentang segala bentuk penindasan, rasuah, ketidakadilan dan prejudis merangkumi perkara-perkara agama, politik dan sosial.