Khamis, 20 Jun 2013

INDEPENDEN KITA

Sebagai Seorang Anak Muda Malaysia, Saya Tentu Boleh Berbangga..!

Kita tidak dilahirkan untuk hidup di dalam arus pembodohan.

“Duk tak duk, jadi kelam kabut habeh berserabut semua sampai masalah depa yang punca dok tuduh kat kita.” Itu kata saya selepas mendengar keluh kesah beberapa individu yang keliru dan celaru dengan perbuatan saya mengoyakkan Kertas Undi ketika menyertai proses Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 dan yang pertama bagi saya. Ketika dihujani persoalan daripada rakan taulan, ahli keluarga dan kelompok parti politik yang tersinggung mengenainya saya telah bersedia dengan hujjah tersendiri.

Pertama, telah lama saya perhatikan suasana hidup rakyat Malaysia yang sering digelapkan dari segala aspek dan seolah-olah dipaksa terima pengamalan politik yang tidak sihat khususnya dari pihak pemerintah . Hampir menjadi kelaziman tanpa ada usaha-usaha konkrit pencerahan. Upaya ancaman ini juga terkait di kalangan masharakat cendekiawan agama dan mampu menumbuhkan seribu satu macam kerosakan seterusnya tanpa dapat mengubahnya kearah kesedaran yang sebenar.

Perhatikan, tindakan saya tidak bermakna “Pengkhianatan” tetapi ia rencana  yang telah lama saya dan teman-teman rakyat muda lain fikirkan mengenai alternatif terakhir “Bantahan Terbuka”  yang bermaksud mencetuskan suatu fikiran kepada rakyat agar secara serius sekaligus menunjukkan sikap tegas dalam menyatakan pendirian terhadap penolakan sistem Pilihanraya yang terbukti sarat dengan penipuan demi memenang dan mengekalkan tampuk penguasaan Regim Anti Rakyat Barisan Nasional di peringkat Persekutuan khasnya. Berdasarkan kepada apa yang sedang berlaku, adalah menjadi perkara sia-sia jika menyertai Pilihanraya yang seperti itu.

Sesungguhnya menyembunyikan kebenaran adalah tindakan seorang yang terjajah.  Maka sebagai penuntut demokrasi tulen, saya serta sebahagian besar lagi rakyat muda yang sedar menilai bahawa aksi protes bersahaja dengan mengoyakkan Kertas Undi dalam Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 yang lalu adalah di antara pilihan tentang cara-cara menegur pihak berkenaan agar menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih sempurna dan ia bukan tanda berputus asa kerana pilihan adalah kebebasan. Jadi, saya memilih cara sedemikian..!

Saya menyakini, kita semua mengetahui bahawa sebelum Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 berlangsung rakyat Malaysia telah diasak pelbagai penipuan terancang tetapi sayangnya kepekaan yang kukuh ini bagai dipinggirkan sehingga menganggap ia bukan sebagai sesuatu yang harus diberi kepedulian. Jelas sekali keadaan ini berterusan semasa Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 berlangsung dengan pembuktian samada melalui rekod video atau bergambar mahupun bertulis. Oleh itu untuk apa menyertai proses yang sedia rosak..?

Sikap negatif sesetengah pihak dengan menuduh secara melulu tanpa bukti, melabel gelar tertentu serta mengenepikan peluang untuk mendengar penjelasan terhadap pendirian saya dan teman-teman anak muda Malaysia yang lain hanya menciptakan ruang selesa kepada musuh-musuh politik. Apakah tingkah laku seperti ini menguntungkan kita..? Tentunya tidak..!

Saya menegaskan apabila kerja-kerja perjuangan yang bersifat “melepas batuk di tangga” misalnya meninggalkan kerjasama Pakatan Rakyat dalam usaha tersusun “menghuru-harakan” perancangan musuh sambil memaut kasih sayang pengundi-pengundi amat dikesalkan.

Alangkah baiknya jika kita berkesempatan untuk berfikir dan bertafakur…
Tidak munasabah jika kita tidak bangkit menentang sistem Pilihanraya yang dilumpuri kotor penipuan. Sungguh menyayat hati. Jika gusar sekalipun untuk berkata benar, janganlah sekali-kali tunduk kepada kezaliman.


Terdapat juga kesilapan strategi gerak kerja Pilihanraya yang berulang seperti Pilihanraya Umum sebelumnya. Lebih perit, kelompok parti tertentu terus gagal menguruskan perkara tersebut sebaik mungkin tambahan pula ada dari kalangan komponen Pakatan Rakyat sudi menjadi teman kepada pihak Regim Anti Rakyat untuk membicarakan soal-soal yang terkeluar dari akhlak perjanjian. Nampaknya di sebalik tanda-tanda Regim Anti Rakyat yang disifatkan ‘tumbang’ dalam Pilihanraya Umum Ke 13 lalu mereka turut sama “diselamatkan” melalui kesilapan rakan komponen Pakatan  Rakyat sendiri selain penipuan yang berleluasa dan terbukti itu.

Justeru ia boleh menjurus kearah krisis dalaman yang lebih serius. Ingat, berhati-hatilah ketika memberi kata-kata. Sewajarnya kita merapat, bermesyuarat, saling bantu membantu memperkemas jentera, memperkukuh kepercayaan diantara parti lalu menyakininya sepenuh jiwa.

Apa pun pandangan dan ulasan dilontarkan, hakikat yang tidak dapat dinafi adalah pretasi Regim Anti Rakyat walaupun tidak stabil seperti sedang dikagumi dan tidak akan tunduk kepada si pengecut. Negara terbukti GAGAL menunaikan tuntutan majoriti warga Malaysia melalui wakil mereka, Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil ringkasnya BERSIH dianggotai lebih 80 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang ditubuh secara rasmi di bangunan Parlimen Malaysia pada 23 November 2006 dihadiri sama pemimpin-pemimpin parti politik serta beberapa NGO dan telah menganjurkan Himpunan Mega Rakyat di Jalanraya ibu kota Kuala Lumpur suatu ketika dahulu menuntut beberapa perkara utama seperti Pembersihan Daftar Pemilih, Penggunaan Dakwat Kekal, Reformasi Undi Pos dan Akses Kepada Media selain tuntutan-tuntutan yang lain iaitu Tempoh Kempen Minima 21 Hari, Mengukuh Institusi Awam, Banteras Amalan Rasuah dan  Basmi Politik Kotor.

Percayalah, sudah sampai saatnya rakyat muda Malaysia mahu menunjukkan kemarahan dan sehingga suatu ketika rakyat jelata pula akan bangkit menumbangkan Regim Anti Rakyat Barisan Nasional ini secara bersendirian tanpa mengaitkan lagi harapan mereka kepada parti-parti politik yang mudah tewas semangat juangnya malah bankrap moral sama sekali selepas segala kemerosotan akhlak pemerintah makin merosak malah makin tidak terbendung. Rakyat bukan beremosi kosong tetapi mempunyai hujjah rasional penuh fakta. Jika alasan ini masih sukar untuk diterima, tidak relevan atau munasabah maka kita akan terus dibelenggu oleh keadaan yang sama malah akan lebih berbahaya di masa-masa hadapan.

Rakyat Malaysia yang progresif serta liberal tentu sahaja lebih berfikiran terbuka terhadap kritikan membina untuk kebaikan masa depan.

Periksa natijah tentang pendirian kita. Jangan hanya REDHA..!
Tanah air kita memerlukan “Perubahan Menyeluruh” yang terhasil dari pemimpin-pemimpin, ulama'-ulama', para kuasawan dan rakyat yang berdedikasi, bebas serta mempunyai jati diri saling melengkapi dan harus diupayakan secara seiring sejalan. Bertujuan menjadikan Malaysia negara yang indah, adil makmur dan sejahtera dibawah naungan Allah yang Maha Pengampun.


Demikian Penjelasan Saya,

Al-Faqir wal Haqir Ila Rabbih,
Komrad Rakyat Mushthafa Kamal Al-Hashemi Al-Fathani
Khamis : 11.39 Malam
29 Jamadil Akhir 1434 / 9 Mei 2013
Kampung Memali Mukim Siong , Baling, Kedah Darul Aman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Konsep fikir yang berakar umbi ajaran yang benar. Aspirasi pencerahan pemikiran melalui ilmu, pembinaan idealisme serta aktivisme dan bimbingan yang komited kepada masharakat. Dibangun atas dasar peduli kekitaan, cinta dan harmoni serta memelihara kemuliaan manusia. ‘Izzah umat hanya akan dicapai jika Islam diamalkan selengkapnya.

Tiada Hak Cipta Dalam Islam. Mohon Sebar Luas Tulis Ayat Komrad Rakyat, Cuma Nyatakan Sumber Anda Bagi Memudahkan Rujukan. Saya Juga Mengharapkan Agar Teman-teman Tidak Melupakan Saya, Seorang Durjana Dan Lalai Ini Dengan Do'a-do'a Kebaikan. Moga Diredhai Tuhan. Terima Kasih Sebanyaknya..!
Wadah penulisan maya demi menyebar dan membudayakan kebenaran serta memberi kesedaran sekaligus pemangkin kebangkitan kepada massa. Komrad Rakyat menyokong kebebasan, keadilan sosial, sikap hormat dan kesaksamaan massa sekaligus menentang segala bentuk penindasan, rasuah, ketidakadilan dan prejudis merangkumi perkara-perkara agama, politik dan sosial.