Isnin, 28 September 2015

KITA PERLU BICARA


 'Eidul Adha atau di kampung halaman saya lebih dikenal sebagai Hari Raya Korban menampak wajah kembali. Perkataan 'Korban' mampu menjunjung erti penyucian, sejarah yang termaktub melalui pengorbanan ruhani Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S bukan suatu ajakan kepada zaman ini supaya mengangkat riwayat tersebut sebagai acara tahunan secara simbolik penyembelihan haiwan sahaja.

Terdahulu, Allah Azza wa Jalla 'mendatangi' Nabi Ibrahim A.S (versi moden Tafsir Al-Qur'an menyatakan ia perintah dari mimpi) sehingga kebenaran 'iman' kedua mereka diterima menurut celupan Tuhan.


Sangat menarik jika telaah ilmiyah ditekuni dengan khusyuk  khususnya mengenai Islam sebagai wadah baharu sumber cinta dan kasih sayang yang mencakupi urusan kehidupan seharian manusia. Kalangan kita tentu mengetahui bahawa semua agama atau kepercayaan mempersembahkan ritual korban sesuai keyakinan masing-masing. 

Persembahan korban untuk Tuhan muncul secara fitrah didalam diri manusia tetapi bayangkanlah pula betapa ramai umat Islam tersalah memahami tujuan bersemayamnya ritual penyembelihan itu didalam salah satu cara beribadah kepada Tuhan.

Asal pemaknaan Korban ialah Qurb iaitu dekat, beerti perlaksanaan ibadat ini mengiring kita agar mendekatkan diri sekaligus pasrah kepada yang Maha Agung. Antara ciri khas kaum Mukminin ialah ikhlas merelakan diri menjadi 'Khadam' yang mengisytiharkan bahawa mereka telah mendedikasikan seluruh hidup termasuk kewujudannya untuk berkhidmat demi kebenaran diatas kebaikan, kemajuan dan kebahagiaan umat.


 Kita sebagai sebahagian daripada umat manusia harus memberi perhatian terhadap satu hal, apakah hal itu..? Satu premis sederhana yang mendasarkan maksud istilah tersebut sehingga membentuk wujud yang memenuhi realiti dunia - Kekuatan akhlak, kesedaran dan peduli kepada ketertindasan manusia selainnya. 

Jangan terlewatkan ungkapan Tuhan kepada Nabi Ibrahim A.S dalam merealisasikan 'pengorbanan' diri sendiri, oleh kerana itu kita memerlukan'paksi masharakat' yang terbina kukuh menyelamatkan manusia daripada kaku akibat cenderung anti ilmiyah dengan hasrat yang sama, 'Mahdisme'.

Keterangan rekod foto:
Upacara penyembelihan haiwan korban di Kedutaan Sekretariat Pemuda Nusantara (PENA) di Cilandak, Jakarta Selatan.

Silakan menyertai saya di,
Komrad Rakyat Mushthafa Kamal Al-Hashemi,
WhatsApp: +6281212898977
BBM: 565E22ED
Email: komradrakyat@gmail.com

Rabu, 8 April 2015

MODAL TAFAKUR


Apa itu perbuatan keji..?

Saya fikir kita 'tak perlu mendefinasikannya dengan definasi yang membuatkan kita semakin tidak memahami kerana tanpa ilmu sekalipun semua manusia faham apa itu perbuatan yang keji. Setiap perbuatan yang keji adalah lawan kepada perbuatan yang baik. Sebagai contoh, berbohong itu keji, berbicara benar itu baik, mengumpat itu keji, memfitnah orang itu keji, berzina itu keji, bersangka buruk itu keji dan pelbagai lagi bentuk kewujudan hal-hal keji yang berada di sekeliling dan merapat dengan kita.

Menganggapnya sebagai perkara yang remeh menyebabkan pelakunya merasakan tidak bersalah jika dia sudah terbiasa dengan perbuatan tersebut. Ada orang bertingkah laku keji kerana kejahilan dan ada juga kalangan kita memang sudah terbiasa. Ada juga orang yang kerjanya cari makan dengan aksi perbuatan yang keji. Semua kita tahu bahawa pelaku perbuatan keji adalah lebih keji berbanding kekejian itu sendiri.  Pembicara yang berbohong lebih keji dari pembohongan itu sendiri.

Semua kita mengetahui bahawa pelaku perbuatan keji ini akan dibebani dengan dosa yang mereka telah lakukan. Adakalanya perbuatan yang sama tetapi pelakunya berbeza darjat maka dosa yang dipikul juga berbeza. Contohnya, jika seorang anak kecil berbohong, tidak akan sama dengan seorang dewasa yang berbohong. Seorang awam berbohong tidak akan sama dengan seorang politikus berbohong. Dosa ahli politik akan lebih besar dari seorang awam yang berbohong. Jika seorang awam berbohong, pendengarnya mungkin hanya beberapa orang sahaja tetapi apabila seorang ahli politik berbohong, semua masharakat penyokong atau pendukungnya akan percaya dengan pembohongan tersebut.

Jika seorang awam melakukan fitnah, dosanya dinilai besar kerana boleh merosakkan keharmorniaan, persahabatan, rumah tangga atau yang seperti itu tetapi jika seorang ulama' melakukan fitnah dan umat mempercayainya kerana dia berstatus ulama' atau ustaz maka dia telah mengheret umatnya kearah kehancuran dan mungkin juga kepada saling kafir mengkafir dan lebih parah daripada itu boleh juga menyebabkan pertumpahan darah.


Maka berhati-hati dengan perbuatan atau tingkah laku keji dan jangan dianggap ringan dan meremehkannya, terutama bagi mereka yang mempunyai status tertentu....

Khamis, 5 Mac 2015

HATI BERSERAKAN



Sebermula pencarian ilmu pengetahuan, antara yang saya menaruh kasih rindu ialah membongkar ilmu-ilmu Islam bahkan ketika sampai pada suatu tahap saya telah melampaui batas tersebut dengan menadah curahan keilmuan segenap bidang.

Cukup berharga kerana sejak sebelum di bangku persekolahan, untuk tidak menyasarkan akal supaya khayal Ibu membiasakan saya untuk memperoleh kebebasan akses terhadap bahan-bahan ilmiah yang beragam seninya dan teratur agar terkendali. Menghadiri majlis-majlis halaqah ilmu hatta hari upacara perkebumian jenazah memberi saya erti yang mendalam untuk menjadi pengamat setia alami tetapi kekal diam sendiri pada waktu itu dan warna-warna indah yang semarak sempat menempati nurani.

Semoga Allah Jalla Wa ‘Ala terus membimbing untuk menemukan kelemahan dan kekhilafan kita demi menghapus potensi negatif tersebut selamanya.

Sebenarnya, tulisan kali ini muncul dari kamir rasa ketidakpuasan hati, kecewa, gelisah dan kebimbangan berganda selepas maklum akan ‘penyakit’ ilmiah yang menawan tujuan murni teman-teman sekuliah sejak dari dahulu hingga sekarang bahkan ikut sama golongan cendekiawan yang telah melumpuhkan pergerakan kearah penyelesaian konkrit kemajuan budaya hidup insan.

Pencinta teori ilmiah yang hilang peduli

Status ‘Pelajar Ilmu’ yang akan saya khususkan disini semakin melentur kepada ghairah budaya pencanduan. Olahan ini justeru membahayakan sehingga ‘Pelajar Ilmu’ dizaman mutakhir memiliki anggapan yang tidak benar tentang manifestasi nilai keilmuan.

Seluruh upaya pembelajaran menurut saya tidak boleh sekadar mencakupi perihal teori mahupun istilah tanpa mengesankan pemberdayaan serta pengukuhan masharakat dari segala hubaya penindasan dan pembodohan terutamanya. Fitrah ‘alamiah insan sepatutnya bebas menanyakan, “Apakah seluruh agenda pendidikan ini hanya ingin mengkayakan pencinta teori didalam kehidupan seharian seorang manusia dan mempermainkan hati serentak mencegah penghayatan sebenar ilmu..?

Hasrat suci menuntut ilmu awalnya kian berubah kepada noda akibat kesengajaan memastikan lagi pencinta teori menjerat tanpa upaya bebas untuk mendasari pengabdian terhadap kebijaksanaan. Maksud saya ketika ‘Pelajar Ilmu’ melihat diri serta kelompoknya berjaya didalam urusan istilah dan segala teori, mereka hilang kesedaran bahawa hakikatnya penilaian itu suatu keserakahan yang merosak malah tentunya tidak sejalan dengan pembentukan manusiawi.

Mengapalah kalangan ‘Pelajar Ilmu’ mengabaikan waktu-waktu kedekatan mereka pada Tuhan sedangkan didalam masa yang sama mereka tidak cinta kepada kepedulian terhadap alam... Lihatlah sekeliling kita lalu bertanyalah, “Sudahkah memposisikan diri sebagai penegak ilmu yang sesungguhnya..?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Konsep fikir yang berakar umbi ajaran yang benar. Aspirasi pencerahan pemikiran melalui ilmu, pembinaan idealisme serta aktivisme dan bimbingan yang komited kepada masharakat. Dibangun atas dasar peduli kekitaan, cinta dan harmoni serta memelihara kemuliaan manusia. ‘Izzah umat hanya akan dicapai jika Islam diamalkan selengkapnya.

Tiada Hak Cipta Dalam Islam. Mohon Sebar Luas Tulis Ayat Komrad Rakyat, Cuma Nyatakan Sumber Anda Bagi Memudahkan Rujukan. Saya Juga Mengharapkan Agar Teman-teman Tidak Melupakan Saya, Seorang Durjana Dan Lalai Ini Dengan Do'a-do'a Kebaikan. Moga Diredhai Tuhan. Terima Kasih Sebanyaknya..!
Wadah penulisan maya demi menyebar dan membudayakan kebenaran serta memberi kesedaran sekaligus pemangkin kebangkitan kepada massa. Komrad Rakyat menyokong kebebasan, keadilan sosial, sikap hormat dan kesaksamaan massa sekaligus menentang segala bentuk penindasan, rasuah, ketidakadilan dan prejudis merangkumi perkara-perkara agama, politik dan sosial.