Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Khamis, 7 November 2013

PERGILAH ASA


Seiring rasa tidak minat saya untuk mendekat ke kancah politik untuk menumpukan diri kepada sesuatau yang lain demikian pula khabar yang berlalu, berkenaan kata Pengerusi Kebangsaan Parti DAP Karpal Singh mencadangkan pemansuhan pergerakan politik berasaskan agama serta kaum lalu disambut paluan gendangnya oleh Induk nasional parti termasuk Dewan Ulama' dan Dewan Pemuda Parti Islam PAS, melenting sakan sehingga lintang pukang hujjah dalam berdepan dengannya.

Sebelum itu sementara saya masih ingat, bekas Menteri Perdana Malaysia  DR. Mahathir Mohamad bekas dan bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Tamby Chik juga pernah mencadangkan pengharaman nama 'Islam' dari sebarang pertubuhan atau pergerakan parti politik dahulu untuk membataskan lonjakan nama Parti Islam PAS khususnya.

Karpal Singh nadanya bercakap atas rasa runsing melihat situasi politik yang makin punah akibat daripada tindakan berterusan merosak nilai kebersamaan, keberagamaan dalam negara. Ini suatu perkara yang perlu diakui dengan segala bukti di depan mata, tanah air ini semakin di bawa ke arah percaturan politik usang lagi bahaya tanpa ada usaha konkrit menyelamatkannya terutama dari pihak pemerintah yang memiliki kuasa dalam melaksanakan keadilan dengan mengatas namakan kepentingan nasional. Hubaya ini membingungkan Malaysia dan menguasai rakyat sebagai konsep yang tidak asing tetapi selesa.

Apakah Malaysia tidak melihat tujuan asas dengan maksud kata-kata Karpal Singh ini..? Sengaja tidak mahu memahami dan bagi sekerat dua pimpinan Parti Islam PAS rasa tercabarnya itu asasnya apa..?

Jika kita sepakat untuk mengatakan kejelasan kenyataan Karpal Singh itu, maka pasti ada jalan keluarnya..:

Nah..! Saya sendiri daripada dahulu cukup senang dengan impian-impian perubahan sistem didalam negara ini selaras dengan garis panduan menurut syarat-syarat ajaran yang benar, progresif, liberal berfokus pada nilai-nilai murni kenegaraan yang maju.

Khamis, 31 Oktober 2013

RIWAYAT SECERAH TANAH

Diadakan seminar 400 Tahun  Sulalatussalatin atau Penurunan Segala Raja-raja (Sejarah Melayu), 2 hari lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Itulah seperti yang pernah dicatatkan oleh sejarah turun naik sosok atau apa jua yang terlibat mengiring kita santapan bebal Orang-orang Kaya Melayu dalam menerus kekuasaan. Orang Melayu, beritahu dunia cara anda mencari bahasa jiwa bangsa. Bukan saya maksudkan dengan Bahasa Melayu tetapi suara nurani seorang Melayu.

Apakah bahasa nurani Orang Melayu..?
Orang Melayu memilikinya walaupun perkataan dipacul senyap dan sepi. Orang-orang Kaya Melayu ketika sejarah merakam gelagat sombong mereka yang jatuh serta berputar didalam gelombang kepentingan kuasa diluar jasad-jasad akal suci Melayu Hamba mewajahkan diri mereka dengan jelas sejak berzaman tetapi sayang masih tidak dapat difahami oleh Minda Melayu Hamba.

Sebahagian Melayu Hamba yang ‘cerdik’ mencari bahasa jiwa dengan sebati bersama Orang-orang Kaya Melayu samada secara terpaksa atau memaksa. Bagi Melayu Hamba yang lain, mereka menyelongkar segala yang menyurat tersirat dengan mendengar, mengadakan perjuangan atau setidak-tidaknya menuliskan senandung puisi dan karangan baharu lalu berirama dengannya.

Barangkali ada juga yang melangsungkan keinginan dalam bahasa memaniskan jiwa dalam menyampaikan hasrat sebagai pengantara ketika tiada lagi kesedaran untuk diertikan lalu berdukalah anak bangsa tatkala penyesalan sudah memati asa putera dan puteri  dan sesetengahnya pula mengambil pendirian yang seakan kedua tadi, menghambat diri terlibat jiwa raga dalam aksi bahaya langsung terjun ke jurang pertembungan walau ia mengambil masa yang lama.

Jadi, tiada siapa yang tidak menyangkal adanya khianat Orang-orang Kaya untuk kita percaya pada golongan mereka yang lebih rendah darjat daripada Tuhan Yang Maha Esa tetapi mengganggap diri umpama berhala memegang tampuk kuasa dan sewenang-wenangnya mengatur urusan dunia menurut pandangan  mereka. Merekalah yang konon dikata dewa-dewa yang hidup sejoli bulan dan matahari bahagia atas kesusahan manusia.

Terang alam buat seisinya, bahawa perubahan atau kekuasaan yang diberikan kepada Orang-orang Kaya  Melayu, mereka tidak semuanya berjaya amanah dalam melaksanakan hal-hal tersebut sebaliknya mereka hanya mencipta fenomena buat pentaksub dari kalangan Melayu Hamba. Bukanlah kita ini Iblis jika asyik menyangkal dan bertanya tentang urusan ini jika jelas nasib malang bangsa makin terabai, jatuh hina dengan sedemikian rendah hanya kerana dosa-dosa dari semangat makhluk konon bijaksana.

Melayu Hamba wajar ikut serta didalam pertarungan moden, usah berfikir mengenai menang atau kalah kerana yang dikatakan Pahlawan tidak hanya memikirkan perkara itu melainkan mengotakan ikrar menolak segala bencana dalam membangun hidup yang damai dan sejahtera.

Jumaat, 11 Oktober 2013

REAKSIONER HANDAL


Mengenai kedudukan sebenar yang berlaku terhadap situasi Parti Islam PAS Kawasan Kepala Batas saya cuma mendapat makluman melalui e-mail, pesanan ringkas sahaja tetapi faham benar kerana ‘pernah’ bersama dahulu sebagai pemimpinnya.

Saya tidak ingin berkomentar disini melainkan akan memulainya jika ada pertemuan diantara jiwa ini dengan sesiapa jua yang mahu mendengar untuk pencerahan. Ya sekadar untuk pengetahuan ‘pun tidaklah mengapa tetapi dalam erti kata 'mendekati' akar krisis, mana tahu ‘anda’ yang berkeinginan untuk dimaksudkan saya itu pula berhasrat membetulkan kesilapan-kesilapan yang sedang terangkai dengan permasalahan tersebut.

Dahulunya saya selalu tertanya-tanya tentang hal ini, kerana jika ada penumpuan perhatian dari tindakan tentu perkara-perkara seperti ini akan diselesaikan dengan hemat yang tinggi. Tidak memadai untuk kita memiliki semangat yang berkobar-kobar, ucapan berapi-api tetapi tergantung didalam ruang dangkal sampai tidak masuk akal jadinya. Menunjukkan wujud keinginan untuk mengadakan perubahan tetapi hasrat itu seakan sedang sakit tanpa rawatan.

Keberhasilan dalam usaha membela terhadap ketertindasan rakyat marhaen juga merosot teruk, tidak banyak yang dilakukan selain hanya menjadi sebahagian reaksioner yang handal.

Jujurnya dalam kesamaran saat itu masih mencekam sikap berdiam diri dan ‘tutup buku’ saya terhadap apa jua ikhtiar politik demi melunaskan kebencian yang berasal daripada pengkhianatan, poltik cantas tindih, berkepentingan diri serta kelompok dengan melabel gerak kerja Islami di atasnya. Dengan rasa kesyukuran, hanya tersenyum sahaja. Barangkali dengan cara ini lebih bagus yakni dalam menyuburkan kebaikan untuk terus berfikir.


Gautama Buddha suatu ketika bertanya kepada anak muridnya,
"Apa yang telah kamu peroleh dari perenungan..?"
Mereka menjawab, "Tiada apa-apa..!". Namun, Gautama Buddha membalas,
mari saya ceritakan apa yang saya dapat daripada ia :
"Hilangnya kemarahan, ketakutan, keputus-asaan, kesedihan, takut melarat dan kematian."

Isnin, 16 September 2013

AZIMAT BERSIKAP

Redup petang Isnin 16 September, sepatutnya waktu-waktu begini saya sedang mempersiapkan diri menanti waktu Shalat Maghrib selepas selesai mengikuti jadual pembelajaran harian yang bermula sejak awal pagi tetapi ruang kelapangan diizin Tuhan seisi cuti sambutan Hari Malaysia yang dirasakan saya elok ‘dicuri’ sedikit waktunya untuk menulis kata-kata serpihan hati terhadap huraian sejarah sosial yang ditampal plaster bagi merawat  koyakan luka  besar ke atas negara bangsa.

Bagaimana saya mahu memulakan tulisan mengenai rasa luhur ini terhadap petaka dinegara konon Merdeka, Malaysia..? Masalahnya bukan apa-apa melainkan hanya memerlukan penjelasan yang penuh ketelitian. Jika akhirnya terdapat kerosakan fakta, maka didalam perkara itu akan muncullah samaada pendustaan atau pertelingkahan yang ‘tak berkesudahan dan tambah mengelirukan misalnya.

     Saya akan memulainya dengan kepastian bahawa apa yang saya katakan petaka berakar kepada akibat sejarah yang haus wawasan, pucat, kelu dan ia menafikan kebenaran yang berhak berharmonis bahkan tanda-tanda itu tepatnya belum cukup mendatangkan sifat-sifat hakikat seiring. Difahami atau tidak oleh kita sendiri, maka biar sahaja ia lebur didalam sanubari masing-masing sehingga suatu saat ketika kita duduk berfikir Tuhan akan mencerahkan tentang apa yang disebut saya tadi.

     Pelbagai petaka semakin merapat dan sukar dihambat erti yang melaksanakan kebaikan kerana kita sering menjadikan petaka tersebut sebagai ejekan lalu pada masa yang sama Malaysia setiap kali fajar  memunculkan diri akan terdengar telinga kita suara aneh kaum penindas melalui lidah berdanur kata tulus perkelahian akhlak yang membenam  potensi serta keistimewaan kita sebagai insan. Tragedi khayali ini membalikkan kita ke bawah dengan hina dan menjadi tunjang kematian rasa dengan penuh ketakjuban.

     Sekarang mari kita perhatikan huruf-huruf ungkapan hati tadi yang bergumam dengan kandungan buah fikir saya agar kita tahu mengapa demikian. Dimaksudkan dengan keterpaksaan kita menerima ulangan sejarah untuk menganggapnya sebagai kecelakaan bangsa. Saya permasalahkan ialah kita sebagai orang-orang berakal menaruh minat untuk melihat kepada kesepakatan yang selalu diperselisihkan, tanyakan pada diri kita... Dengan cara ini terjawablah seputar modal puak-puak reaksioner, dan ianya bukan paksaan untuk memahami.

Khamis, 4 Julai 2013

DR MURSI DISINGKIR KUASA

Walaupun terdapat kekurangan & niat yang mencurigakan pada Tentera Mesir, catatan terpenting sejarah hari ini selepas 3 hari rakyat Mesir mengadakan Unjuk Rasa bahawa rakyat akan menentang Presiden atau Pemerintah boneka yang sanggup memberi bantuan kepada imperialis & Zionis malahan bersifat anti rakyat, menafikan toleransi.

Penyingkiran DR Mohammed Morsi adalah suatu desakan popular setelah tidak berupaya memenuhi syarat untuk memimpin rakyat. Penulis tidak akan mengatakan Syaitan Besar Amerika Syarikat senang dengan penyingkirannya, tetapi agak sedih kerana beliau merupakan sekutu terdekatnya yang dilihat rapat sehingga menganggap Presiden Shimon Peres sebagai "rakan baik".




Penulis berharap bangsa Mesir akan memiliki seorang Presiden baru dari kalangan revolusioner tulen yang bersedia menghormati & akan berusaha memenuhi harapan rakyat Mesir seluruhnya serta peduli akan hak-hak semua kelompok agama termasuk etnik yang berbeza di Mesir.
Republik Arab Mesir juga mesti berdiri sebagai sebuah negara anti Zionis & imperialis.


Khamis, 20 Jun 2013

INDEPENDEN KITA

Sebagai Seorang Anak Muda Malaysia, Saya Tentu Boleh Berbangga..!

Kita tidak dilahirkan untuk hidup di dalam arus pembodohan.

“Duk tak duk, jadi kelam kabut habeh berserabut semua sampai masalah depa yang punca dok tuduh kat kita.” Itu kata saya selepas mendengar keluh kesah beberapa individu yang keliru dan celaru dengan perbuatan saya mengoyakkan Kertas Undi ketika menyertai proses Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 dan yang pertama bagi saya. Ketika dihujani persoalan daripada rakan taulan, ahli keluarga dan kelompok parti politik yang tersinggung mengenainya saya telah bersedia dengan hujjah tersendiri.

Pertama, telah lama saya perhatikan suasana hidup rakyat Malaysia yang sering digelapkan dari segala aspek dan seolah-olah dipaksa terima pengamalan politik yang tidak sihat khususnya dari pihak pemerintah . Hampir menjadi kelaziman tanpa ada usaha-usaha konkrit pencerahan. Upaya ancaman ini juga terkait di kalangan masharakat cendekiawan agama dan mampu menumbuhkan seribu satu macam kerosakan seterusnya tanpa dapat mengubahnya kearah kesedaran yang sebenar.

Perhatikan, tindakan saya tidak bermakna “Pengkhianatan” tetapi ia rencana  yang telah lama saya dan teman-teman rakyat muda lain fikirkan mengenai alternatif terakhir “Bantahan Terbuka”  yang bermaksud mencetuskan suatu fikiran kepada rakyat agar secara serius sekaligus menunjukkan sikap tegas dalam menyatakan pendirian terhadap penolakan sistem Pilihanraya yang terbukti sarat dengan penipuan demi memenang dan mengekalkan tampuk penguasaan Regim Anti Rakyat Barisan Nasional di peringkat Persekutuan khasnya. Berdasarkan kepada apa yang sedang berlaku, adalah menjadi perkara sia-sia jika menyertai Pilihanraya yang seperti itu.

Sesungguhnya menyembunyikan kebenaran adalah tindakan seorang yang terjajah.  Maka sebagai penuntut demokrasi tulen, saya serta sebahagian besar lagi rakyat muda yang sedar menilai bahawa aksi protes bersahaja dengan mengoyakkan Kertas Undi dalam Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 yang lalu adalah di antara pilihan tentang cara-cara menegur pihak berkenaan agar menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih sempurna dan ia bukan tanda berputus asa kerana pilihan adalah kebebasan. Jadi, saya memilih cara sedemikian..!

Saya menyakini, kita semua mengetahui bahawa sebelum Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 berlangsung rakyat Malaysia telah diasak pelbagai penipuan terancang tetapi sayangnya kepekaan yang kukuh ini bagai dipinggirkan sehingga menganggap ia bukan sebagai sesuatu yang harus diberi kepedulian. Jelas sekali keadaan ini berterusan semasa Pilihanraya Umum Malaysia Kali Ke 13 berlangsung dengan pembuktian samada melalui rekod video atau bergambar mahupun bertulis. Oleh itu untuk apa menyertai proses yang sedia rosak..?

Sikap negatif sesetengah pihak dengan menuduh secara melulu tanpa bukti, melabel gelar tertentu serta mengenepikan peluang untuk mendengar penjelasan terhadap pendirian saya dan teman-teman anak muda Malaysia yang lain hanya menciptakan ruang selesa kepada musuh-musuh politik. Apakah tingkah laku seperti ini menguntungkan kita..? Tentunya tidak..!

Saya menegaskan apabila kerja-kerja perjuangan yang bersifat “melepas batuk di tangga” misalnya meninggalkan kerjasama Pakatan Rakyat dalam usaha tersusun “menghuru-harakan” perancangan musuh sambil memaut kasih sayang pengundi-pengundi amat dikesalkan.

Alangkah baiknya jika kita berkesempatan untuk berfikir dan bertafakur…
Tidak munasabah jika kita tidak bangkit menentang sistem Pilihanraya yang dilumpuri kotor penipuan. Sungguh menyayat hati. Jika gusar sekalipun untuk berkata benar, janganlah sekali-kali tunduk kepada kezaliman.


Terdapat juga kesilapan strategi gerak kerja Pilihanraya yang berulang seperti Pilihanraya Umum sebelumnya. Lebih perit, kelompok parti tertentu terus gagal menguruskan perkara tersebut sebaik mungkin tambahan pula ada dari kalangan komponen Pakatan Rakyat sudi menjadi teman kepada pihak Regim Anti Rakyat untuk membicarakan soal-soal yang terkeluar dari akhlak perjanjian. Nampaknya di sebalik tanda-tanda Regim Anti Rakyat yang disifatkan ‘tumbang’ dalam Pilihanraya Umum Ke 13 lalu mereka turut sama “diselamatkan” melalui kesilapan rakan komponen Pakatan  Rakyat sendiri selain penipuan yang berleluasa dan terbukti itu.

Justeru ia boleh menjurus kearah krisis dalaman yang lebih serius. Ingat, berhati-hatilah ketika memberi kata-kata. Sewajarnya kita merapat, bermesyuarat, saling bantu membantu memperkemas jentera, memperkukuh kepercayaan diantara parti lalu menyakininya sepenuh jiwa.

Apa pun pandangan dan ulasan dilontarkan, hakikat yang tidak dapat dinafi adalah pretasi Regim Anti Rakyat walaupun tidak stabil seperti sedang dikagumi dan tidak akan tunduk kepada si pengecut. Negara terbukti GAGAL menunaikan tuntutan majoriti warga Malaysia melalui wakil mereka, Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil ringkasnya BERSIH dianggotai lebih 80 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang ditubuh secara rasmi di bangunan Parlimen Malaysia pada 23 November 2006 dihadiri sama pemimpin-pemimpin parti politik serta beberapa NGO dan telah menganjurkan Himpunan Mega Rakyat di Jalanraya ibu kota Kuala Lumpur suatu ketika dahulu menuntut beberapa perkara utama seperti Pembersihan Daftar Pemilih, Penggunaan Dakwat Kekal, Reformasi Undi Pos dan Akses Kepada Media selain tuntutan-tuntutan yang lain iaitu Tempoh Kempen Minima 21 Hari, Mengukuh Institusi Awam, Banteras Amalan Rasuah dan  Basmi Politik Kotor.

Percayalah, sudah sampai saatnya rakyat muda Malaysia mahu menunjukkan kemarahan dan sehingga suatu ketika rakyat jelata pula akan bangkit menumbangkan Regim Anti Rakyat Barisan Nasional ini secara bersendirian tanpa mengaitkan lagi harapan mereka kepada parti-parti politik yang mudah tewas semangat juangnya malah bankrap moral sama sekali selepas segala kemerosotan akhlak pemerintah makin merosak malah makin tidak terbendung. Rakyat bukan beremosi kosong tetapi mempunyai hujjah rasional penuh fakta. Jika alasan ini masih sukar untuk diterima, tidak relevan atau munasabah maka kita akan terus dibelenggu oleh keadaan yang sama malah akan lebih berbahaya di masa-masa hadapan.

Rakyat Malaysia yang progresif serta liberal tentu sahaja lebih berfikiran terbuka terhadap kritikan membina untuk kebaikan masa depan.

Periksa natijah tentang pendirian kita. Jangan hanya REDHA..!
Tanah air kita memerlukan “Perubahan Menyeluruh” yang terhasil dari pemimpin-pemimpin, ulama'-ulama', para kuasawan dan rakyat yang berdedikasi, bebas serta mempunyai jati diri saling melengkapi dan harus diupayakan secara seiring sejalan. Bertujuan menjadikan Malaysia negara yang indah, adil makmur dan sejahtera dibawah naungan Allah yang Maha Pengampun.


Demikian Penjelasan Saya,

Al-Faqir wal Haqir Ila Rabbih,
Komrad Rakyat Mushthafa Kamal Al-Hashemi Al-Fathani
Khamis : 11.39 Malam
29 Jamadil Akhir 1434 / 9 Mei 2013
Kampung Memali Mukim Siong , Baling, Kedah Darul Aman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Konsep fikir yang berakar umbi ajaran yang benar. Aspirasi pencerahan pemikiran melalui ilmu, pembinaan idealisme serta aktivisme dan bimbingan yang komited kepada masharakat. Dibangun atas dasar peduli kekitaan, cinta dan harmoni serta memelihara kemuliaan manusia. ‘Izzah umat hanya akan dicapai jika Islam diamalkan selengkapnya.

Tiada Hak Cipta Dalam Islam. Mohon Sebar Luas Tulis Ayat Komrad Rakyat, Cuma Nyatakan Sumber Anda Bagi Memudahkan Rujukan. Saya Juga Mengharapkan Agar Teman-teman Tidak Melupakan Saya, Seorang Durjana Dan Lalai Ini Dengan Do'a-do'a Kebaikan. Moga Diredhai Tuhan. Terima Kasih Sebanyaknya..!
Wadah penulisan maya demi menyebar dan membudayakan kebenaran serta memberi kesedaran sekaligus pemangkin kebangkitan kepada massa. Komrad Rakyat menyokong kebebasan, keadilan sosial, sikap hormat dan kesaksamaan massa sekaligus menentang segala bentuk penindasan, rasuah, ketidakadilan dan prejudis merangkumi perkara-perkara agama, politik dan sosial.