Memaparkan catatan dengan label Nasihat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nasihat. Papar semua catatan

Selasa, 13 Oktober 2015

SIAPA ATAS APA

Memperoleh ilmu pengetahuan adalah perkara yang menyeronokkan, biarpun benar atau salah maka kedua-dua hal tersebut adalah catatan penting yang akan membantu kita mengelaskan keberadaan persepsi secara benar. Saya misalkan, masing-masing umat Islam dan sedikit dari penganut ajaran samawi lainnya tentu beriman kepada Al-Qur’an – buku Tuhan tersebut kemudiannya melalui proses penafsiran sesuai keberadaan zaman penafsir.

Jujur sahaja, kebanyakkan tafsiran hanyalah untuk mewakili dan memenangkan kelompok yang diwakili penafsir sehingga ada sebahagiannya menganggap selain daripada itu salah dan harus mengajak orang lain bersimpati menolak sumbangan penafsiran dari perspektif yang berbeza. Banyak bukti dapat disaksikan apabila ada saudara-saudara kita yang mengamalkan keterbukaan disetiap segmen kehidupan dan sedikit mengambil waktu berfikir keras untuk menganalisa, mereka lebih jelas dalam bertindak dan cukup mengesankan.

Demikian jika kita lihat dalam kaedah fiqih yang menyebutkan bahawa:

الحكم يدور ما على مسمى لا على اسم

Hukum itu terlegar pada inti yang diberikan nama, bukanlah jenama.

Perhatikan… Keluasan ilmu yang patut kita hargai itu bukan pada siapa yang memiliki nama keatas subjek tersebut agar ia boleh dirasai manfaatnya, halangan utama untuk berfikir secara waras ialah mendahulukan siapa atas apa sedangkan kegunaan dan kebenaran maklumat belum diambil kira. Ukurlah idea atau konsep cetusan seseorang itu dengan penuh perhatian dan kejujuran dengan sikap sedia menerima perbezaan kerana merasa persepsi kita sahaja sejelas realiti itu merosak toleransi kemanusiaan.

Bukankah warna warni pelangi itu indah kelihatan kerana berbeza..?


Sebagai tambahan akhir Syahid Dr. Ali Shari’ati pernah menuturkan, “Dalam ilmu, adalah perlu dilihat kepada isi perkataan bukan kepada siapa yang berkata. Adapun dalam perkara yang berkaitan dengan politik, adalah perlu dilihat kepada siapa yang berkata terlebih dahulu, kemudian barulah dilihat kepada apa yang diperkatakan.”


Kerana itu jangan terus kita berpendapat bahawa perkataan yang dilemparkan dari orang-orang tertentu kalangan kita khususnya berkaitan politik itu benar belaka dan ketahuilah juga mereka tidak hanya wujud di medium percakapan politik kepartian sahaja. Carilah kunci kepada pembinaan persepsi yang benar dengan menghargai dialog atau jalan dua hala dalam mencapai inti kenikmatan sebelum hadir sebuah ketiadaan.

Rabu, 8 April 2015

MODAL TAFAKUR


Apa itu perbuatan keji..?

Saya fikir kita 'tak perlu mendefinasikannya dengan definasi yang membuatkan kita semakin tidak memahami kerana tanpa ilmu sekalipun semua manusia faham apa itu perbuatan yang keji. Setiap perbuatan yang keji adalah lawan kepada perbuatan yang baik. Sebagai contoh, berbohong itu keji, berbicara benar itu baik, mengumpat itu keji, memfitnah orang itu keji, berzina itu keji, bersangka buruk itu keji dan pelbagai lagi bentuk kewujudan hal-hal keji yang berada di sekeliling dan merapat dengan kita.

Menganggapnya sebagai perkara yang remeh menyebabkan pelakunya merasakan tidak bersalah jika dia sudah terbiasa dengan perbuatan tersebut. Ada orang bertingkah laku keji kerana kejahilan dan ada juga kalangan kita memang sudah terbiasa. Ada juga orang yang kerjanya cari makan dengan aksi perbuatan yang keji. Semua kita tahu bahawa pelaku perbuatan keji adalah lebih keji berbanding kekejian itu sendiri.  Pembicara yang berbohong lebih keji dari pembohongan itu sendiri.

Semua kita mengetahui bahawa pelaku perbuatan keji ini akan dibebani dengan dosa yang mereka telah lakukan. Adakalanya perbuatan yang sama tetapi pelakunya berbeza darjat maka dosa yang dipikul juga berbeza. Contohnya, jika seorang anak kecil berbohong, tidak akan sama dengan seorang dewasa yang berbohong. Seorang awam berbohong tidak akan sama dengan seorang politikus berbohong. Dosa ahli politik akan lebih besar dari seorang awam yang berbohong. Jika seorang awam berbohong, pendengarnya mungkin hanya beberapa orang sahaja tetapi apabila seorang ahli politik berbohong, semua masharakat penyokong atau pendukungnya akan percaya dengan pembohongan tersebut.

Jika seorang awam melakukan fitnah, dosanya dinilai besar kerana boleh merosakkan keharmorniaan, persahabatan, rumah tangga atau yang seperti itu tetapi jika seorang ulama' melakukan fitnah dan umat mempercayainya kerana dia berstatus ulama' atau ustaz maka dia telah mengheret umatnya kearah kehancuran dan mungkin juga kepada saling kafir mengkafir dan lebih parah daripada itu boleh juga menyebabkan pertumpahan darah.


Maka berhati-hati dengan perbuatan atau tingkah laku keji dan jangan dianggap ringan dan meremehkannya, terutama bagi mereka yang mempunyai status tertentu....

Khamis, 5 Mac 2015

HATI BERSERAKAN



Sebermula pencarian ilmu pengetahuan, antara yang saya menaruh kasih rindu ialah membongkar ilmu-ilmu Islam bahkan ketika sampai pada suatu tahap saya telah melampaui batas tersebut dengan menadah curahan keilmuan segenap bidang.

Cukup berharga kerana sejak sebelum di bangku persekolahan, untuk tidak menyasarkan akal supaya khayal Ibu membiasakan saya untuk memperoleh kebebasan akses terhadap bahan-bahan ilmiah yang beragam seninya dan teratur agar terkendali. Menghadiri majlis-majlis halaqah ilmu hatta hari upacara perkebumian jenazah memberi saya erti yang mendalam untuk menjadi pengamat setia alami tetapi kekal diam sendiri pada waktu itu dan warna-warna indah yang semarak sempat menempati nurani.

Semoga Allah Jalla Wa ‘Ala terus membimbing untuk menemukan kelemahan dan kekhilafan kita demi menghapus potensi negatif tersebut selamanya.

Sebenarnya, tulisan kali ini muncul dari kamir rasa ketidakpuasan hati, kecewa, gelisah dan kebimbangan berganda selepas maklum akan ‘penyakit’ ilmiah yang menawan tujuan murni teman-teman sekuliah sejak dari dahulu hingga sekarang bahkan ikut sama golongan cendekiawan yang telah melumpuhkan pergerakan kearah penyelesaian konkrit kemajuan budaya hidup insan.

Pencinta teori ilmiah yang hilang peduli

Status ‘Pelajar Ilmu’ yang akan saya khususkan disini semakin melentur kepada ghairah budaya pencanduan. Olahan ini justeru membahayakan sehingga ‘Pelajar Ilmu’ dizaman mutakhir memiliki anggapan yang tidak benar tentang manifestasi nilai keilmuan.

Seluruh upaya pembelajaran menurut saya tidak boleh sekadar mencakupi perihal teori mahupun istilah tanpa mengesankan pemberdayaan serta pengukuhan masharakat dari segala hubaya penindasan dan pembodohan terutamanya. Fitrah ‘alamiah insan sepatutnya bebas menanyakan, “Apakah seluruh agenda pendidikan ini hanya ingin mengkayakan pencinta teori didalam kehidupan seharian seorang manusia dan mempermainkan hati serentak mencegah penghayatan sebenar ilmu..?

Hasrat suci menuntut ilmu awalnya kian berubah kepada noda akibat kesengajaan memastikan lagi pencinta teori menjerat tanpa upaya bebas untuk mendasari pengabdian terhadap kebijaksanaan. Maksud saya ketika ‘Pelajar Ilmu’ melihat diri serta kelompoknya berjaya didalam urusan istilah dan segala teori, mereka hilang kesedaran bahawa hakikatnya penilaian itu suatu keserakahan yang merosak malah tentunya tidak sejalan dengan pembentukan manusiawi.

Mengapalah kalangan ‘Pelajar Ilmu’ mengabaikan waktu-waktu kedekatan mereka pada Tuhan sedangkan didalam masa yang sama mereka tidak cinta kepada kepedulian terhadap alam... Lihatlah sekeliling kita lalu bertanyalah, “Sudahkah memposisikan diri sebagai penegak ilmu yang sesungguhnya..?

Ahad, 16 Februari 2014

PERIHAL KITA

Persaudaraan adalah sebahagian daripada belahan jiwa daripada badan yang berbeza dan sebagaimana kita alami semua manusia memiliki teman dan sahabat. Seseorang yang tidak mempunyai teman adalah orang yang bodoh malah lebih lebih daripada itu lagi setelah ia memiliki teman lalu teman itu meninggalkannya.

Selalunya pertemanan atau persahabatan menjadi suatu ikatan kerana mereka memiliki persamaan yang saling memerlukan seperti hasrat, tujuan, tinggal serumah atau belajar bersama sehinggalah menyentuh perihal akidah. Ketika kita memperkatakan tentang persamaan ini, perlu juga kita mengetahui bahawa bukan semua ikatan pertemanan terjadi disebabkan urusan yang baik tetapi adakala ia disebabkan ajakan kepada perkara mungkar dan ini adalah realiti yang tidak boleh diingkari sesiapapun.

Yakini bacaan saudara saudari ini, persahabatan yang begitu akrab akan mewujudkan persaudaraan sehingga sahabatnya lebih dekat dari kaum kerabatnya sendiri. Ikatan persaudaraan ini membuatkan diantara mereka yang bersahabat memiliki jiwa yang sama untuk saling melindungi dan saling memahami antara satu dengan yang lain. Seakan antara sahabat ini adalah jiwa yang satu cuma jasad dan badannya sahaja yang berbeza.

Sahabat yang seperti ini diumpamakan seperti cerminan berbalik iaitu ketika kita melihat dirinya maka kita sedang melihat diri kita sendiri. Sahabat akan menjaga kita sebagaimana dia menjaga dirinya sendiri. Jika ada yang tidak kena, yang dikatakan  sahabat akan membetulkannya dan ketika kita melakukan kesalahan, sahabat akan menegur kesalahan yang dilakukan didepan kita dan bukannya dikhalayak ramai.

Persoalannya disini,Sudahkah kita memiliki sahabat yang sedemikian susun huruf tadi..?

Yang memiliki sifat-sifat yang telah dijadikan kalimah tersusun di atas..?

Jika kita ada, maka kita adalah antara manusia yang paling beruntung di dunia serta penantian menuju Hari Kebangkitan nanti...

Ahad, 27 Oktober 2013

MENDEKAT LUTHFULLAH

Saat rintik hujan membasahi bumi saya katakan rahmat Tuhan menaungi rencana yang tidak kunjung henti.

Saya perhatikan rintik itu... Yang sesekali guruh dan petir menyusul bunyi menampak cahaya terang.

Hujan,
dari atas menderu jatuh ke bawah,
setiap titis hujan yang jatuh pasti akan naik sesaat sebelum benar-benar sejati
dan 'selesa' di bumi.
Begitulah, akibat percikan air hujan yang muncul.

 

Suatu pelajaran tanpa memasuki kelas yang saya boleh ungkapkan bahawa setiap jiwa itu datangnya dari atas (Allah Ta'ala), yang serendah manapun dirinya terjatuh tentu ada keinginan untuk kembali naik ke atas (kembali kepada Allah Ta'ala). 

Demikianlah teras kata TAUBAT.
Mengajak kita memandang secara positif kepada zahir jasad-jasad manusia yang berada 'dibawah', larut mereka didalam asyik dunia kerana di hati kecil mereka tentunya ada keinginan untuk merasa dekat dengan Allah S.W.T.

 

ALLAH MAHA ADIL
MAKA TENANG MENGHADAPI DUNIA SAHABAT
INSYA ALLAH ADA BALASAN YANG SETIMPAL

Sabtu, 26 Oktober 2013

FANATIK PENDOSA

Kefanatikan boleh dikenal ketika pendosa membela kefasadan dari kelompoknya walaupun terdapat kebaikan yang dilakukan dari kelompok yang lain tetapi ketika seseorang dengan santun mencintai kelompoknya dalam keadaan benar bukan menyokong perlakuan zalim sehingga membawa kelompoknya jauh dari dasar ajaran Rasul s.a.w maka itu sesuatu yang dipandang mulia.

Sangat patut untuk kita menyetujui rasa kebosanan dan tidak wajar merelakan segala tindakan yang memanipulasikan sesuatu hak umum, contohnya 'Al-Islam' yang sering dicuri jasadnya demi sebuah kepentingan lebih-lebih lagi secara radikal lalu menjadi takfir, hobi laknat melaknat, zikir menghukum sesat bagi yang tidak sealiran...

Sikap tidak menghargai kebersamaan tujuan atau kepelbagaian konsep pemahaman patut dibungkus sekemas-kemasnnya untuk dihumban di lurah curam yang bahaya malahan jika tajam itu lebih bagus demi mendatangkan malapetaka kepadanya dalam usaha membangun kecenderungan yang bermanfaat atau setidak-tidaknya berpalinglah dari pertikaman lidah samada melalui debat diruang maya atau dimana sahaja kita berada.


Sementara begitu banyak pemilik laman sosial pelbagai latar belakang sibuk menyebar kata 'Saya Berbangga Menjadi Muslim' saya pula tidak berbangga dilahirkan sebagai seorang Muslim,
tetapi saya berserah diri dengan keIslaman saya sesuai dengan nilai Qur'ani, Surah Al-Hamd Ayat 5, Surah An-Nisaa' Ayat 36.
Agama adalah seperti kemaluan, perlu dilindungi bukan dibangga kata depan khalayak.

Khamis, 3 Oktober 2013

SEIZIN TUHAN

Kita semua maklum sebagai seorang Muslim lafaz itu cukup penting untuk diungkap ketika 'nak menunaikan sesuatu, kerana tiadalah upaya daya kita menentukan apa yang bakal terjadi kelak terhadap janji tersebut dan jangan lupa 'Insya Allah' Melayu ya..! Hehe. Masharakat Melayu sering menggunakan lafaz ini untuk menolak secara halus terhadap permintaan seseorang yang lain dengan alasan menjaga hati.

'Insya Allah' yang perlu kita fahami ialah kata tekad untuk memenuhinya secara benar disamping penyerahan diri kepada ketetapan Allah Ta'ala yang mana ikhtiar mengambil tempat pertama sebelum itu.

Selain Islam yang mengajarkan itu, terdapat juga ayat didalam Arabic Holy Bible, Kisah para rasul 18:21 yang memaksudkan kepada 'Insya Allah', kita akan hidup membuat ini atau itu" ketika ingin berjanji. Sayangnya kalangan Kristian Nusantara sendiri masih ramai yang tidak tahu...


Petik pautan lagu Maher Zain ini untuk ke laman YouTube




Sabtu, 23 Februari 2013

KU PINJAM KOSA KATA



Semenjak lahir sehingga saat ini, Penulis lihat suasana hidup jiwa-jiwa di bumi Malaya merdeka sering sahaja menjamah fasis ilusi dari segala aspek. Hampir normal tanpa sebab-sebab pemurnian. Betapa masharakat ini semakin rendah walaupun berdiri bangkit kerana sukar mendapat petunjuk kebenaran yang sejati.

Sedikitnya golongan cendekiawan agama & golongan terpelajar yang jujur meniti jalan keikhlasan hadir ditengah lapangan kehidupan demi memperkata, memimpin seterusnya memperjuangkan sebuah hakikat.

Ya... Tidak sedikit tetapi banyak mereka terwujud ada... Malah merasa senang dengan 'rezeki' hasil dari ilmunya. Membatasi amal dengan pinjaman kata-kata yang tidak terlaksanakan ... Kosong cinta kosong perbuatannya...

#Jadi Ajarkan Saya Lebih Lanjut Mengenai Kemurnian Jujur Dahulu ...

Ahad, 16 Disember 2012

TRAGEDI DIRI


Dulu waktu masih berada di bangku sekolah terutamanya sekitar penghujung tahun 1990-an, Penulis difahamkan dan telah dapat merasakan kemunduran politik bangsa Malaysia sejak sekian lama setelah sering mengikuti program-program penerangan sebelum daripada itu.  Idealisme kumpulan politik bukan pemerintah dilihat lebih membara, anti korupsi, jujur memegang kebenaran malah banyak dari mereka bersih dari perkara-perkara kotor.

Secara realitinya ketempangan itu tetap wujud yang mana ada segelintir daripada pemimpin kumpulan ini yang ‘sempat’ mengambil manfaat-manfaat walaupun tidak sedikit dengan tangan-tangan yang tersembunyi seperti yang Penulis ketahui kes penyelewengan Syarikat KOHILAL, penyonglapan wang pengurusan Jemaah Haji oleh bekas Calon Parti Islam PAS di Parlimen Kepala Batas & penggelapan puluhan ribu wang ahli-ahli Parti yang disebutkan tadi didalam pelaburan bahkan lebih dari itu Penulis ketahui. Ada di kalangan mereka sedar & bangkit mengancam dengan kebenaran tetapi langsung sahaja ditendang dengan kehinaan.

Namun ketika telah masuk ke era kemenangan selepas Pilihan Raya Umum Ke 12 pada tahun 2008, ramai pula bersedap-sedap dengan sedikit harta rampasan perang maka hampir semua kelebihan serta keistimewaan yang telah di anugerahkan luntur. Makin lupakah jika dahulu perjuangan dianggap suci…

Adalah penting didalam perjuangan, diingati matlamat dasar sebagai pemukul kepada mereka yang menghidupkan tragedi untuk mengelakkan fanatisme kelompok tetapi dengan akhlak yang damai mengangkat kejahatan para penzalim pada mata masharakat agar masharakat berupaya berhadapan dengan golongan ini.

Demikian pula kita memahamkan diri bahawa selepas terjadinya pertelingkahan, apakah harus mendiamkan sahaja diri..? Atau seperti sebilangan pejuang terdahulu membataskan pergerakan mereka tanpa ada penentangan hatta menegur sekalipun dengan mengatas namakan kepentingan organisasi itu lebih penting dari menegakkan hak & menumbangkan kebatilan..?

Ingatlah wahai saudara saudari teman-teman pembaca, wajib ada pada kita walau dimana sahaja untuk menyampaikan perkara yang sebenarnya walaupun dalam keadaan lemah. Amat tidak bermaruah jika kita tidak berusaha untuk meneruskan kesedaran ini. Bersyukurlah insan-insan yang tidak tercemar oleh virus musuh. 

Semoga kita tetap terjaga kejujuran dan memegang idealisme  kebenaran.Ya Allah Ya Illahi Ya Maula, Perkenankanlah...!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Konsep fikir yang berakar umbi ajaran yang benar. Aspirasi pencerahan pemikiran melalui ilmu, pembinaan idealisme serta aktivisme dan bimbingan yang komited kepada masharakat. Dibangun atas dasar peduli kekitaan, cinta dan harmoni serta memelihara kemuliaan manusia. ‘Izzah umat hanya akan dicapai jika Islam diamalkan selengkapnya.

Tiada Hak Cipta Dalam Islam. Mohon Sebar Luas Tulis Ayat Komrad Rakyat, Cuma Nyatakan Sumber Anda Bagi Memudahkan Rujukan. Saya Juga Mengharapkan Agar Teman-teman Tidak Melupakan Saya, Seorang Durjana Dan Lalai Ini Dengan Do'a-do'a Kebaikan. Moga Diredhai Tuhan. Terima Kasih Sebanyaknya..!
Wadah penulisan maya demi menyebar dan membudayakan kebenaran serta memberi kesedaran sekaligus pemangkin kebangkitan kepada massa. Komrad Rakyat menyokong kebebasan, keadilan sosial, sikap hormat dan kesaksamaan massa sekaligus menentang segala bentuk penindasan, rasuah, ketidakadilan dan prejudis merangkumi perkara-perkara agama, politik dan sosial.