Khamis, 31 Oktober 2013

RIWAYAT SECERAH TANAH

Diadakan seminar 400 Tahun  Sulalatussalatin atau Penurunan Segala Raja-raja (Sejarah Melayu), 2 hari lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Itulah seperti yang pernah dicatatkan oleh sejarah turun naik sosok atau apa jua yang terlibat mengiring kita santapan bebal Orang-orang Kaya Melayu dalam menerus kekuasaan. Orang Melayu, beritahu dunia cara anda mencari bahasa jiwa bangsa. Bukan saya maksudkan dengan Bahasa Melayu tetapi suara nurani seorang Melayu.

Apakah bahasa nurani Orang Melayu..?
Orang Melayu memilikinya walaupun perkataan dipacul senyap dan sepi. Orang-orang Kaya Melayu ketika sejarah merakam gelagat sombong mereka yang jatuh serta berputar didalam gelombang kepentingan kuasa diluar jasad-jasad akal suci Melayu Hamba mewajahkan diri mereka dengan jelas sejak berzaman tetapi sayang masih tidak dapat difahami oleh Minda Melayu Hamba.

Sebahagian Melayu Hamba yang ‘cerdik’ mencari bahasa jiwa dengan sebati bersama Orang-orang Kaya Melayu samada secara terpaksa atau memaksa. Bagi Melayu Hamba yang lain, mereka menyelongkar segala yang menyurat tersirat dengan mendengar, mengadakan perjuangan atau setidak-tidaknya menuliskan senandung puisi dan karangan baharu lalu berirama dengannya.

Barangkali ada juga yang melangsungkan keinginan dalam bahasa memaniskan jiwa dalam menyampaikan hasrat sebagai pengantara ketika tiada lagi kesedaran untuk diertikan lalu berdukalah anak bangsa tatkala penyesalan sudah memati asa putera dan puteri  dan sesetengahnya pula mengambil pendirian yang seakan kedua tadi, menghambat diri terlibat jiwa raga dalam aksi bahaya langsung terjun ke jurang pertembungan walau ia mengambil masa yang lama.

Jadi, tiada siapa yang tidak menyangkal adanya khianat Orang-orang Kaya untuk kita percaya pada golongan mereka yang lebih rendah darjat daripada Tuhan Yang Maha Esa tetapi mengganggap diri umpama berhala memegang tampuk kuasa dan sewenang-wenangnya mengatur urusan dunia menurut pandangan  mereka. Merekalah yang konon dikata dewa-dewa yang hidup sejoli bulan dan matahari bahagia atas kesusahan manusia.

Terang alam buat seisinya, bahawa perubahan atau kekuasaan yang diberikan kepada Orang-orang Kaya  Melayu, mereka tidak semuanya berjaya amanah dalam melaksanakan hal-hal tersebut sebaliknya mereka hanya mencipta fenomena buat pentaksub dari kalangan Melayu Hamba. Bukanlah kita ini Iblis jika asyik menyangkal dan bertanya tentang urusan ini jika jelas nasib malang bangsa makin terabai, jatuh hina dengan sedemikian rendah hanya kerana dosa-dosa dari semangat makhluk konon bijaksana.

Melayu Hamba wajar ikut serta didalam pertarungan moden, usah berfikir mengenai menang atau kalah kerana yang dikatakan Pahlawan tidak hanya memikirkan perkara itu melainkan mengotakan ikrar menolak segala bencana dalam membangun hidup yang damai dan sejahtera.

Rabu, 30 Oktober 2013

LAKAR MERAH


Hari ini mari kita lakar merah,
Membakar subuh yang kelam,
Dan mencetus lupa kesuraman alam,

Hari ini mari kita lakar hari yang gembira,
Tersenyum berkerut yang bermakna,
Dan memaksa dunia untuk ketawa,

Hari ini mari kita lakar hari yang gembira,
Cinta yang merusuh meraung suara,
Dan memeluk setiap ragu dengan percaya,

Hari ini mari kita lakar hari tanpa nista,
Raungan kita lagu kebebasan dunia,
Dan harapan dari ragu yang mengikat nada,

Hari ini mari kita hidup dengan cara yang berani,
Mensyukuri setiap nikmat hidup baru,
Dan peduli akan setiap nafas tanpa jemu...

(25 Zulhijjah 1434 / 30 Oktober 2013)

Ahad, 27 Oktober 2013

MENDEKAT LUTHFULLAH

Saat rintik hujan membasahi bumi saya katakan rahmat Tuhan menaungi rencana yang tidak kunjung henti.

Saya perhatikan rintik itu... Yang sesekali guruh dan petir menyusul bunyi menampak cahaya terang.

Hujan,
dari atas menderu jatuh ke bawah,
setiap titis hujan yang jatuh pasti akan naik sesaat sebelum benar-benar sejati
dan 'selesa' di bumi.
Begitulah, akibat percikan air hujan yang muncul.

 

Suatu pelajaran tanpa memasuki kelas yang saya boleh ungkapkan bahawa setiap jiwa itu datangnya dari atas (Allah Ta'ala), yang serendah manapun dirinya terjatuh tentu ada keinginan untuk kembali naik ke atas (kembali kepada Allah Ta'ala). 

Demikianlah teras kata TAUBAT.
Mengajak kita memandang secara positif kepada zahir jasad-jasad manusia yang berada 'dibawah', larut mereka didalam asyik dunia kerana di hati kecil mereka tentunya ada keinginan untuk merasa dekat dengan Allah S.W.T.

 

ALLAH MAHA ADIL
MAKA TENANG MENGHADAPI DUNIA SAHABAT
INSYA ALLAH ADA BALASAN YANG SETIMPAL
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Konsep fikir yang berakar umbi ajaran yang benar. Aspirasi pencerahan pemikiran melalui ilmu, pembinaan idealisme serta aktivisme dan bimbingan yang komited kepada masharakat. Dibangun atas dasar peduli kekitaan, cinta dan harmoni serta memelihara kemuliaan manusia. ‘Izzah umat hanya akan dicapai jika Islam diamalkan selengkapnya.

Tiada Hak Cipta Dalam Islam. Mohon Sebar Luas Tulis Ayat Komrad Rakyat, Cuma Nyatakan Sumber Anda Bagi Memudahkan Rujukan. Saya Juga Mengharapkan Agar Teman-teman Tidak Melupakan Saya, Seorang Durjana Dan Lalai Ini Dengan Do'a-do'a Kebaikan. Moga Diredhai Tuhan. Terima Kasih Sebanyaknya..!
Wadah penulisan maya demi menyebar dan membudayakan kebenaran serta memberi kesedaran sekaligus pemangkin kebangkitan kepada massa. Komrad Rakyat menyokong kebebasan, keadilan sosial, sikap hormat dan kesaksamaan massa sekaligus menentang segala bentuk penindasan, rasuah, ketidakadilan dan prejudis merangkumi perkara-perkara agama, politik dan sosial.